Monday, March 19, 2007

Makyong

Muzik dan Peralatan

Muzik adalah unsur yang sangat penting dalam persembahan makyong dan mempunyai fungsi-fungsi seperti berikut:
Muzik rebab digunakan untuk memaklumkan bahawa persembahan makyong akan dimulakan, iaitu digunakan untuk menarik perhatian penonton-penonton.
Muzik digunakan untuk membentuk susunan-susunan yang menggambarkan emosi dan perasaan tiap tiap adegan, selalunya suasana ini digambarkan dengan lagu-lagu yang dinyanyikan oleh watak-watak utama dan juga korus atau watak Jong Dondang.
Muzik digunakan untuk mengiringi tarian-tarian dan juga nyanyian.
Muzik digunakan untuk menandakan permulaan dan juga menamatkan adegan-adegan ketika masuk dan keluar watak juga diiringi oleh muzik dan adakalanya muzik terutamanya bunyian gendang diselitkan dengan dialog-dialog.
Peralatan Muzik

Di dalam permainan makyong, peralatan-peralatan muzik yang selalu digunakan adalah seperti sebuah rebab, sepasang gong, iaitu ibu dan anak, sepasang geduk, juga ibu dan anak, sebatang serunai, sepasang gedombak iaitu ibu dan anak dan canang serta kesi.
Tetapi di dalam persembahan yang agak kecil biasanya alat-alat muzik tidaklah sepenuhnya digunakan seperti di atas. Ia hanya cuma sebuah rebab, sepasang gendang iaitu ibu dan anak, sepasang gong juga ibu dan anak, sebatang serunai dan canang.
Ahli muzik yang penting dalam persembahan makyong adalah pemain rebab yang lebih dikenali sebagai Tok Mindok. Dia adalah ketua dan juga pemimpin orkestra makyong. Ia memulakan semua lagu sepanjang lapan hingga enam belas measure yang selepas itu diikuti oleh gendang, gong, suara penyanyi solo dan korus. Dialah yang memberi isyarat supaya memulakan lagu, menukarkan rentak lagu dan juga mengenai hal-hal dalam aspek muzik. Tok Mindok dan ahli-ahli muziknya yang lain ditempatkan di suatu sudut kiri pentas dengan Tok Mindok duduk mengarah kepada matahari jatuh.

Alat-alat Pembukaan Panggung

Dalam acara ini, alat-alat yang mesti disediakan adalah beras kunyit, pulut kuning atau nasi kunyit, tempat kemenyannya, sebiji telor dadar, bertih, bunga melor, pisang lemak manis, secawan air dan sebidang tikar.

No comments: